Friday 13 March 2015

musafir

Musafir

Siapakah yang dikatakan musafir?
Seseorang yang berjalan melebihi dua marhalah (92km), atas tujuan yang diharuskan, dan berniat untuk tinggal di satu tempat tidak melebihi 3 hari dan 3 malam, tidak termasuk hari sampai dan hari keluar. Tetapi jika berniat untuk tinggal lebih daripada 3 hari dan 3 malam, dia dikira musafir semasa dalam perjalanan, tetapi setelah sampai ke destinasi, dia dikira sebagai bermukim di situ. Sebagai orang bermukim, dia tidak lagi boleh mengerjakan solat jamak dan qasar. Jika dia niat untuk tinggal di situ selama-selamanya pula, dia dikira musafir semasa dalam perjalanan, tetapi setelah sampai ke destinasi, dia dikira sebagai bermastautin di situ.Sebagai orang bermastautin, dia tidak lagi boleh mengerjakan solat jamak dan qasar.

Syarat-syarat musafir:
Pemergian itu adalah musafir yang wajib, sunat atau harus. Contoh musafir wajib ialah perjalanan pergi menunaikan haji, musafir sunat ialah melawat saudara, dan musafir harus pula apabila membuat lawatan tertentu. Tidak dikatakan musafir jika dia berjalan atas tujuan perkara-perkara haram seperti merompak, mencuri dan lain-lain.
Mesti tahu dengan pasti tempat yang ingin dituju, contoh musafir ke Sungai Petani.
Untuk jamak – pasangannya ialah zohor dan asar, atau maghrib dan isyak.
Untuk qasar – hanya boleh zohor, asar dan isyak, dipendekkan daripada 4 kepada 2 rakaat. Maghrib tidak boleh diqasarkan.
Jika seseorang niat bermusafir, tetapi setelah sampai didapati jarak perjalanan baru 90km. Dia tidak boleh menambah jarak sebanyak 2km lagi demi membolehkan mengerjakan solat jamak dan qasar. Kita tidak dibenarkan menambah atau mengurangkan sesuatu untuk mengubah sesuatu hukum. Contohnya jika bela kambing, cukup 40 ekor untuk setahun perlu dizakatkan seekor. Tetapi jika dia sengaja menyembelih seekor pada bulan ke-11 untuk mengurangkan bilangan, dia tetapi kena zakat seekor kambing juga.

Untuk solat jamak takkhir, nak buat solat mana dahulu? Zohor atau Asar? ada dua pendapat, ada yang katakan dahulukan yang dahulu iaitu Zohor dulu, kemudian Asar. Atau utamakan yang empunya waktu iaitu buat Asar dulu, kemudian Zohor.


 
PANDUAN MUSAFIR DAN SOLAT DI DALAM PERJALANAN

Setiap orang yang ingin melakukan perjalanan atau bermusafir dengan tujuan yang baik dan dituntut oleh Islam seperti bermusafir kerana menuntut ilmu, melaksanakan sesuatu urusan keagamaan seperti mengerjakan Ibadat Haji, menziarahi keluarga, kenalan atau mencari rezeki yang halal untuk memenuhi keperluan keluarganya, mereka tergolong di kalangan orang-orang yang menempuh perjalanan yang diredhai Allah, atau dikira beribadat kepada Allah S.W.T . Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

" Barangsiapa yang bermusafir kerana menuntut ilmu pengetahuan, maka ia adalah dalam perjalanan Allah, sehinggalah ia kembali ".


PANDUAN BERMUSAFIR

NIAT

Hendaklah niat bermusafir dengan tujuan melaksanakan sesuatu hal yang baik semoga sentiasa diberkati oleh Allah. Nabi Muhammad S.A.W bersabda yang bermaksud:


" Tidak seorang pun yang keluar dari rumahnya kecuali ada dua panji-panji, salah satu di antaranya berada di tangan malaikat sedang yang lainnya di tangan syaitan. Maka jika keluarnya itu untuk sesuatu urusan yang disukai Allah S.W.T, ia akan diringi oleh malaikat dengan panji-panjinya. Demikianlah ia akan selalu berada di bawah panji-panji malaikat sampai ia kembali ke rumahnya. Sebaliknya jika keluarnya itu untuk sesuatu hal yang dimurkai Allah, maka orang itu akan diiringi oleh syaitan dengan panji-panjinya. Dan demikianlah ia akan selalu di bawah panji- panji syaitan sampai ia pulang kembali ke rumahnya ".

( Riwayat Ahmad dan Tabrani )


SEMBAHYANG SUNAT MUSAFIR

Sunat melakukan sembahyang sunat musafir sebelum berangkat. Cara-cara sembahyang sunat musafir.

1. Lafaz niat ketika takbiratul ihram ialah seperti berikut :

" Sahaja aku sembahyang sunat musafir dua rakaat kerana Allah "


2. Pada rakaat yg pertama selepas membaca Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun


3. Pada rakaat kedua selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas.


4. Selepas salam berdoalah meminta agar Allah memberikan keselamatan, kemudahan serta          memberkati perjalanan yang hendak dilakukan





SUNAT-SUNAT MUSAFIR

1. Sunat memulakan musafir pada hari Khamis.. Diriwayatkan oleh Bukhari:


" Bahawa Rasulullah S.A.W jika ia bermusafir, jarang ia berangkat bukan pada hari Khamis "

2. Sunat membawa teman ketika bermusafir. dari Ibnu Umar r.a:


"Bahawa Rasulullah S.A.W melarang bersendiri, ertinya bila seseorang itu menginap atau bermusafir seorang diri ". ( Riwayat Ahmad )

Baginda juga selalu membawa barang-barang berikut semasa bermusafir iaitu sebotol minyak, sikat rambut, celak, gunting, kayu sugi dan cermin.

3. Sunat meminta kaum keluarga atau sahabat yang ditinggalkan memohon supaya bertawakkal      kepada  Allah supaya mendoakan keselamatan kita dalam perjalanan dan musafir.

4. Sunat berdoa ketika keluar berangkat dari rumah.

" Dengan nama Allah, aku bertawakkal kepada Allah dan tiada daya maupun tenaga kecuali     dengan

izin Allah "

5. Jika bermusafir dengan menaiki kenderaan maka sunat pula berdoa :

" Segala puji bagi Allah, maha Suci Allah yang telah menjinakkan( memudahkan ) bagi kami kenderaan ini, padahal sebelumnya kami takkan mampu menguasainya dan sungguh kami nanti akan pulang kembali kepada Tuhan kami ".


10/12/13
MBJ

No comments:

Post a Comment